370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil mulai tahun depan

Salinan dari MyMetro

MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan bagi memantau pengajaran bahasa itu di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengambilan pakar itu selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk pelajar tahun satu sekolah rendah yang akan bermula tahun depan.


"Mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris, ini kita akan mulakan pada tahun depan," katanya pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini, hari ini.


MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012 selepas mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat sudah terlatih dalam bahasa itu.


Yang agak mencabar bagaimana hendak kita perkukuhkan bahasa Inggeris?. (Oleh itu) kita juga mahu guru yang sudah tersedia dalam sistem pendidikan mesti didedahkan semula dengan kursus-kursus dalam cuti supaya mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih mahir lagi," katanya.

Beliau juga berkata, penguasaan guru pelatih di IPG dalam bahasa Inggeris juga akan ditingkatkan agar mereka tidak menghadapi masalah apabila mengajar di sekolah.


"Secara terperincinya, kita akan kemukakan kepada orang ramai tidak berapa lama lagi supaya rakyat tahu dan mereka dapat membantu supaya dasar MBMMBI kita dapat dilaksanakan secara terbaik," katanya.

0 comments :

Catat Ulasan

Pengikut