Cerpen | Buaian Kayu

     Sudah beberapa hari Daniel merengek kepada ayahnya, Jenal. Setiap kali dia merengek, Jenal akan memberi janji palsu kepadanya. "Ok, nanti petang lepas Asar kita pergi ya."
"Ayah tengah menaip kerja ayah ni, nanti pukul 5 kita pergi."
"Daniel tidur dulu. Sekarang masih panas di pantai. Nanti dah redup kita pergi."
     Itulah antara ayat yang Jenal gunakan untuk memujuk Daniel. Dia tahu, kalau dia tidak memberikan harapan kepada Daniel, anaknya itu akan merajuk.
     Rajukannya pula bukan sebarangan. Sebelum merajuk, biasanya Daniel akan meraung-raung sambil berguling-guling. Jenal tak nak pening kepala.

--------------------------------------------------

     Petang ini, sekali lagi Daniel mengajak ayahnya. Ketika itu, Jenal sedang berehat sambil menonton drama cuti sekolah di tv. Kebetulan, tengahari tadi semua begitu berselera menikmati ikan 'aye' singgang bersama budu kampung. Kini, semuanya kekenyangan sambil bersantai di depan tv.
"Aduh! Ayah sakit perut lah!" Cepat-cepat Jenal memberi alasan apabila Daniel bersuara mengajaknya. "Ayah kena masuk tandas ni, abang." Kata Jenal. Terus dia bergegas ke tandas meninggalkan Daniel terkebil-kebil.
Lama Jenal duduk di dalam tandas. "Harap-harap Daniel lupa dia nak ajak aku ke situ." Jenal berkata sendirian sambil membaca pos kawan-kawan Facebooknya. Memang Jenal bawa masuk sekali henfon ke tandas tadi. Tak lah dia bosan duduk di dalam tandas.
Kadang-kadang Jenal rasa bersalah juga pada Daniel. Kasihan pun ada. Jenal pun bukannya tegar nak hampakan Daniel. Cuma, kalau ke situ memang dia menolak.
Teringat Jenal kisah dahulu....

--------------------------------------------------

Suasana begitu meriah. Suara kanak-kanak menjerit keriangan kedengaran di sini sana. Para jemputan masih berpusu-pusu hadir dan menikmati jamuan yang disediakan.
Jenal turut sama melayan tetamu. Bajunya sudah basah lokos dengan peluh. Dia rasa menyesal memilih tuksedo sebagai persalinan hari ini. Berdiri disampingnya, Timah, begitu anggun berbusana Muslimah kontemporari. Cuma calitan makeupnya agak terusik dengan titisan peluh.
Jam menunjukkan angka 4 petang. Selesai bergambar beramai-ramai dengan ahli keluarga, Firdaus, jurufoto perkahwinan yang diupah Jenal menyarankan agar pasangan pengantin pergi ke pantai untuk bergambar.
"Kat pantai tu banyak sikit spot menarik untuk bergambar. Lagi best kita ambil gambar atas buaian kayu." Terang Firdaus kepada Jenal dan Timah.
Tanpa berlengah, mereka bertiga menuju ke pantai menaiki kereta dipandu Firdaus. Sampai sahaja di pantai, Jenal nampak ramai orang. Agak penuh kawasan pantai dengan manusia. "Macamana kita nak bergambar ni? Orang ramai sangat lah!" Jenal meminta kepastian daripada Firdaus. Timah di sisinya hanya mengangguk setuju.
"Alah Nal. Boleh je. Biasalah sekarang kan cuti sekolah? Mesti ramai orang." Firdaus meyakinkan Jenal dan Timah.
Jenal menundukkan kepalanya, akur dengan saranan Firdaus.

Mereka pun berjalan menuju ke pantai. Jenal yang bersifat pemalu, hanya menundukkan kepalanya ketika berjalan. Dia merasakan setiap pasang mata manusia yang berada di pantai itu sedang memerhatikannya. Walaupun berasa agak rimas dengan situasi itu, dia tetap melangkah membontoti Firdaus sambil memimpin tangan Timah, isteri yang baru dinikahinya.
Sesekejap dia berhenti, membantu Timah yang terkial-kial berjalan sambil mengelak pasir memasuki kasutnya. Timah pula kelihatan ceria. "Mungkin dia bahagia aku memilihnya sebagai isteri." Hati Jenal berkata.
Tidak dinafikan, Timah memang seorang wanita yang cantik. Kulitnya putih melepak, hidungnya mancung bak seludang dan bibirnya merah merekah umpama delima. Pandangan matanya redup dan senyumannya manis.
Namun begitu, Timah bukanlah pilihan pertama Jenal. Dia lebih cenderung kepada Jenab, pilihan hatinya sejak zaman persekolahan. Timah hanya dikenalinya apabila ibunya memperkenalkan kepadanya 5 bulan yang lalu. Timah adalah anak kepada rakan baik ibunya yang tinggal di Meru. Jenab pula adalah rakan sekampung Jenal dan mereka tinggal berhampiran.

--------------------------------------------------

Sedang Jenal, Timah dan Firdaus berjalan, Jenal ternampak kelibat seseorang yang amat dikenalinya. Jenal menoleh untuk kepastian. Sah! Itu adalah Jenab. Jenab sedang duduk bersama adik perempuannya di atas pasir, memerhatikan Jenal.
Hati Jenal berdebar.

"OK, tempat ni cantik." Kata Firdaus kepada Jenal dan Timah. Mereka berhenti di tepi bangsal perahu yang agak usang. Atap rumbianya pun ada yang sudah tercabut di beberapa bahagian..
"Nal, pimpin bini kau naik atas perahu tu. Aku nak shoot gambar." Arah Firdaus. Jenal pun memegang tangan Timah dan memimpinnya. Hatinya masih berdebar-debar.
Di sekitar bangsal itu, ramai orang yang sedang duduk bersantai. Ada yang sedang menjamah keropok lekor, ada yang melayan anak bermain layang-layang, tak kurang juga yang sedang berbual kosong. Jenal tidaklah memperdulikan mereka semua. Di fikirannya kini hanya terbayang wajah Jenab. Jenal pasti yang Jenab sedang memerhatikannya.
"Nal, kau berdiri menghadap Timah, pegang dua-dua tangan dia." Arahan Firdaus mengejutkan Jenal. Jenal pun perlahan mengikut kata Firdaus yang sudah bersedia dengan kameranya. "OK, sekarang korang berdiri kat hujung perahu tu macam dalam filem Titanic." Terus Firdaus mengarahkan pasangan pengantin itu.
"Haa...macam tu, Nal. Senyum sikit. Kau tenung ke arah pokok kelapa tu." Pelbagai pose digayakan, dari pose berdiri, duduk hinggalah berjuntai kaki di tepi perahu.
"Jom, kita shoot kat buaian kayu tu pula." Saran Firdaus​ sambil menunjuk ke arah buaian berhampiran. "Eh? OK ke buaian tu? Aku tengok macam nak runtuh je." Balas Jenal. "Kan buaian tu dibuat daripada kayu cengal, Nal. Mestilah kukuh. Lagipun baru minggu lepas aku shoot gambar pengantin kat situ." Firdaus cuba meyakinkan Jenal.
"Mmm..ye lah. Jom sayang." Kata Jenal sambil memimpin Timah. Sambil itu matanya meliar mencari kelibat Jenab.
Mereka pun menyambung sesi bergambar di buaian kayu. Mulanya Jenal berdiri di belakang Timah yang duduk di atas buaian. Kemudian, Firdaus mengarahkan Jenal menolak perlahan buaian itu pula.
"Now, kau duduk sebelah Timah, Nal. Aku nak shoot dari tepi." Arah Firdaus lagi. "Aku seriau lah! Lain macam je bunyi buai ni bila aku ayun tadi." Balas Jenal.
"Cepatlah Nal. Lepas shoot ni kita dah boleh balik." Tegas Firdaus. "OK lah..OK lah." Jenal mengalah. Baginya lebih cepat siap, lebih baik. Dia tidak sanggup mengenangkan Jenab yang fikirnya sejak dari memerhatikan mereka. Dia tidak mahu hati Jenab bertambah luka.
Jenal pun duduk perlahan-lahan di sebelah Timah. Firdaus terus merakamkan gambar mereka berdua. Tiba-tiba, PRAKKK!!!!!
Palang buaian itu jatuh dan menimpa kepala Jenal dan Timah. Mereka berdua jatuh terhentak ke atas pasir. "Aduh! Tolong! Tolong!" Jerit Jenal sekuat hati.
Orang ramai yang berada di situ bergegas ke tempat kejadian. Mereka mengerumuni Jenal dan Timah. Mereka lihat Timah telah terbaring. Matanya tertutup rapat. Mungkin telah pengsan.
Jenal pula masih sedar walaupun kepalanya terasa amat sakit dihempap palang buaian. Dia jadi tak keruan. Memang pantang baginya jadi tumpuan orang ramai seperti itu. Dia berasa teramat malu!
Cepat-cepat dia mendukung Timah dan berlari membawanya ke kereta. Dia sudah tidak hiraukan orang sekeliling yang mahu membantu. Yang penting baginya, dia mesti cepat beredar dari situ. "Aaargh! Malunya! Malunya!" Jerit Jenal di dalam hati.

--------------------------------------------------

Sejak dari hari itu, Jenal tidak pernah menjejakkan lagi kakinya ke pantai itu. Kerana itulah juga Jenal berat hati untuk memenuhi permintaan anaknya, Daniel ke pantai bermain buaian kayu.
SEKIAN

0 comments :

Catat Ulasan

Pengikut