Cerpen | Putarkan Tombol Itu

Puas Jenal memutar tombol pintu tandas itu. Dicuba-cuba beberapa kali namun masih tidak terbuka. Jenal rasa dah lebih 5 minit dia mengerjakan tombol pintu tu.

"**** it!" Jenal menyumpah seranah. Terbayang difikirannya Timah sedang seronok membeli-belah. "Tentu Timah tak fikir yang aku terperangkap dalam ni."

Bukan salah Timah pun. Jenal yang tidak mengecas henfonnya sebelum keluar tadi. Apabila jadi begini, henfonnya pula kehabisan bateri. Tidaklah dapat dia menghubungi Timah memberitahu yang dia terperangkap.

Ingin saja Jenal menjerit meminta tolong. Namun, sifat pemalu menghalangnya berbuat demikian. Dia bimbang jika dia menjerit, ramai orang yang akan datang mengerumuni tandas itu. Dia tidak sanggup menjadi tumpuan orang. Malahan, terbayang pula rakan sepejabatnya, Amid yang selalu membahannya. Dia tidak mahu Amid tahu. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu.

Lama sudah Jenal cuba membuka pintu itu. Tangannya sudah melelas. Dia pun semakin letih.
Yang peliknya, Jenal tidak pula mendengar apa-apa bunyi di luar tandas. Bunyi pancutan air tidak, bunyi 'plop..plop' pun tidak, apatah lagi bunyi tapak kaki. Segalanya senyap sunyi.

Jenal tidak berputus asa. Tidak boleh tidak, dia mesti keluar dari tandas itu. Dia mencari akal bagaimana untuk melepaskan dirinya dari bala yang tidak diduganya.

Dia melihat ke atas. "Aduh! Tingginya. Macamana aku nak panjat ni?"
Sedang Jenal berkira-kira untuk memanjat, dia terdengar bunyi. Bunyi seakan-akan suara orang. Bila diamat-amati, agak garau kedengarannya.

Jenal mendiamkan dirinya. Dia tidak mahu ada orang tahu dia ada di situ, terperangkap dari tadi. Dia tidak mahu malu!
Tok! Tok! Tok! Pintu tandasnya diketuk kuat.

Jenal semakin bimbang. Dia menjadi tidak keruan. Pintu tandasnya diketuk lagi. Kali ini semakin kuat. Jenal menggeletar.

Bam! Pintu tandas itu ditendang. Ia kini terbuka luas.

"Ooi bang! Ooi! Bangunlah bang! Apa kau membuta dalam tandas ni? Orang lain pun nak memerut jugak!" Kata lelaki yang menendang pintu tandas tadi, mengejutkan Jenal.

Jenal hanya mampu menggosok kedua-dua belah matanya.

0 comments :

Catat Ulasan

Pengikut